Friday, January 7, 2011

Kesengsaraan itu Penuh Hikmah

Diam tak diam, telah setahun berlalu peristiwa yang membuatkan saya menderita dan merasa kesedihan yang tidak mungkin saya lupakan seumur hidup ini. Hari ini Jumaat, 7 Januari adalah ulangtahun kepada kemalangan yang menimpa saya dan menyebabkan saya merasa sangat kecewa dan berputus asa. Tetapi alhamdulillah, semuanya dapat saya tempuhi dengan dorongan semangat yang di berikan oleh suami, keluarga dan rakan-rakan seperjuangan. Terima Kasih semua. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik kalian...

Namun begitu, saya sangat bersyukur saya masih lagi hidup hingga ke hari ini. Alhamdulillah Ya Rabb!..dan semenjak dari itu saya berazam untuk meningkatkan amalan demi mencapai keberkatan dan rahmat dariNya...Insya'allah! Saya sentiasa berpegang pada hakikat bahawa,

Tidak selamanya rasa sakit itu tidak berharga, sehingga harus dibenci. Kerana kemungkinan rasa sakit itu justeru akan mendatangkan kebaikan pada seseorang (saya).


Sesungguhnya ketulusan sebuah doa muncul tatkala kesakitan yang perit dan ketulusan tasbih yang sentiasa terucap datang dari hati yang sakit. Begitu juga penderitaan dan bebanan yang dialami oleh pelajar dalam menuntut ilmu, yang pada akhirnya menjadikannya seorang ilmuwan yang terkemuka. Demikianlah, kerana dia telah bersusah-payah di awal perjalanannya, sehingga ia boleh menikmati kesenangan di akhirnya. Usaha keras seorang penyair memilih kata-kata untuk bait-bait syairnya telah menghasilkan sebuah karya sastera yang sangat menawan. Sakit hatinya telah menyentuh hati dan urat saraf serta membuat darahnya bergemuruh, kemudian gejolak jiwa itu mengarahkan pemikirannya untuk merangkai kata-kata yang indah.


Seorang pelajar yang hidup dalam keselesaan, tidak aktif, berfoya-foya, tidak pernah menghadapi masalah dan tidak pernah ditimpa musibah, besar kemungkinan akan menjadi orang yang malas, enggan bergerak dan mudah menyerah kalah.


Orang-orang mukmin dari generasi awal merupakan contoh pola kehidupan yang baik, mereka merasa hidup pada zaman kerasulan nabi serta kelahiran agama Islam. Mereka adalah orang-orang yang memiliki keimanan yang teguh, hati yang terbaik, bahasa yang bersahaja serta ilmu yang luas. Semua itu mereka perolehi kerana mereka hidup dalam masa yang penuh dengan kesulitan dan penderitaan. Mereka pernah menderita kelaparan, miskin, diusir, disakiti, dan rela meninggalkan orang yang dicintai, diseksa, bahkan dibunuh. Dan kerana itulah pula mereka menjadi orang-orang pilihan, mereka menjadi tanda kesucian, panji kebajikan dan simbol pengorbanan. 


.....yang demikian itu ialah kerana mereka ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan ALLAH, dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik. (At-Taubah: 120)

Di dunia ini, ramai orang yang berjaya dan menjadi kaya kerana mereka mampu menjadikan penderitaan sebagai perantaraan dalam mencapai kejayaan. Oleh kerana itu, jangan takut dengan penderitaan dan jangan khuatir dengan kesengsaraan, kerana terkadang penderitaan itu justeru memberikan kekuatan  dan akan menjadi sebuah kenikmatan pada suatu hari nanti. Jika kita hidup dengan hati yang membara, terbakar dan jiwa yang bergelora kerana penderitaan, adalah lebih baik dan terhormat berbanding hidup dengan perasaan dingin, semangat yang layu dan jiwa yang lemah.


Nasihat atau motivasi yang diberikan tanpa adanya roh sedikit pun tidak akan mampu menggerakkan hati orang yang mendengarkannya, bahkan nasihat itu tidak bermanfaat sama sekali. Ini kerana nasihat-nasihat itu tidak lahir dari mulut seseorang yang pernah mengalami dan menghayati suatu kesedihan dan kesengsaraan.


.....mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak terkandung dalam hatinya...(Ali-'Imran: 167)

Maka jika kita ingin merasa manisnya sesuatu kejayaan, kita harus merasai kesusahan dan keperitan dalam mendapatkannya barulah kita menghargai apa yang kita ada....Wallahualam bii sawabb..

No comments:

Post a Comment