"Ketika mana seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan dan menghadapi dahaga yang amat sangat, beliau menemui sebuah telaga, lalu turun dan meminum air kemudian keluar, tiba-tiba beliau mendapati seekor anjing sedang terjelir-jelir dan memakan tanah kerana terlalu dahaga. Lelaki itu menyatakan: Anjing ini begitu dahaga sekali sehingga mencapai tahap ini (memakan tanah) seperti juga dahaga yang aku alami. Beliau turun semula ke dalam telaga, kemudian memenuhkan khuf (kasut kalis air) dengan air, kemudian memegang dengan mulutnya lalu memberi minum kepada anjing tadi. Allah s.w.t berterimakasih kepadanya dan mengampunkan dosanya. Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah adakah apabila kita berbuat baik kepada binatang, kita akan mendapat pahala?. Sabda baginda: Ya, berbuat baik kepada setiap sesuatu yang mempunyai jantung yang berdenyut itu, mendapat pahala."
Hadis ini menjelaskan perlunya manusia menggunakan ilmu psikologi (meramal, sensitif, empati) di dalam berinteraksi dengan binatang yang tidak berakal. Walaupun binatang tidak berakal seperti manusia, namun manusia yang berakal itu perlu menggunakan akalnya dengan betul. Kadang-kadang manusia yang berakal, lebih teruk daripada binatang yang tidak berakal semasa melakukan sesuatu tindakan.
Dipetik dari buku 'Psikologi Rasulullah s.a.w Dalam Berinteraksi Dengan Masyarakat'. Tulisan Dr Basri Bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari. Terbitan Al-Hidayah. 2009.
Ilmu psikologi memang sudah sedia ada dari zaman nabi dan rasul-rasul terdahulu, seperti kisah Nabi Musa dan Firaun & Haman, Nabi Salleh dan unta betinanya, Nabi Ibrahim serta bapa dan kaumnya sehinggalah ke Nabi Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Apa yang penting, kita hanya perlu belajar dan amalkannya...
No comments:
Post a Comment