Friday, December 31, 2010

AMBANG TAHUN BARU 2011

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2011....

Selang tidak berapa hari kita baru sahaja menyambut Maal Hijrah..kini kita menyambut tahun Masihi yang baru pula. Apakah yang kita azam dan impikan pada tahun yang lepas sudah tercapai? Jika sudah, alhamdulillah...tetapi jika belum rasanya belum terlambat untuk berusaha kearah itu..

Saya sentiasa tanamkan rasa positif dalam diri dengan mengingatkan diri sendiri setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM DAN ESOK LEBIH BAIK DARI HARI INI..dalam pada yang sama, saya tidak lupa mengingatkan diri saya tentang kematian...rakan sejawat saya selalu mengatakan TUA AKAN DATANG, MATI SENTIASA MENGHAMPIRI ITU SUDAH PASTI..

Doa saya untuk kedua-dua tahun baru ini supaya segala kesusahan, kehilangan dan kepayahan yang saya alami pada tahun 2010 akan di ganti dengan sesuatu yang lebih baik dan diberkati dunia dan akhirat seperti yang Allah telah janjikan..

'ALLAH AKAN MENGGANTI YANG LEBIH BAIK'

Allah tidak pernah mencabut sesuatu dari kita kecuali DIA menggantikannya denga yang lebih baik. Tetapi, itu setelah kita bersabara dan tetap redha dengan segala ketetapanNya.
Barangsiapa yang Aku butakan kedua matanya, lalu ia bersabar, nescaya akan Aku ganti dengan syurga. (Al-Hadith)

Siapa saja orang di dunia ini yang kekasihnya Aku cabut nyawanya, kemudian dengan cubaan yang Aku timpakan ini dia (bersabar dan) mengharap pahalaKu, nescaya akan Aku ganti dengan syurga. (Al-Hadith)

Yakni: barangsiapa kehilangan anaknya tetap berusaha untuk bersabar, maka di alam keabadian kelak akan dibangunkan untuknya sebuah Baitul-Hamd (Istana Pujaan).

Maka kita tidak usah terlalu bersedih dengan musibah yang menimpa, sebab yang menentukan semua itu memilikki syurga, balasan, pengganti, dan ganjaran yang besar.

Para Waliyullah yang pernah ditimpa musibah, ujian dan cubaan akan mendapatkan penghormatan yang agung disyurga Firdaus. Itu tersirat dalam firmanNya:
Kesejahteraan dan kebahagiaan bagi kalian kerana kalian telah bersabar dalam mentaati Allah dan menerima cubaanNya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahan. (Ar-Ra'd: 24)

Betapa pun, kita harus melihat dan yakin bahawa di sebalik musibah terdapat ganti dan balasan dari Allah yang akan selalu berakhir pada kebaikan kita. Dengan itu, kita akan termasuk:
Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabb mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Al-Baqarah: 157)

Ini merupakan ucapan selamat bagi orang-orang yang mendapat musibah dan khabar gembira bagi orang-orang yang mendapat bencana.

Wahai orang-orang yang tertimpa musibah; sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang hilang dari kalian. Kalian justeru beruntung, kerana Allah selalu menurunkan sesuatu kepada para hambaNya dengan 'surat ketetapan' yang di sela-sela huruf kalimahNya tedapat suatu kelembutan, kasih-sayang, pahala, ada balasan, dan juga pilihan. Maka dari itu, siapa saja yang tertimpa musibah yang hebat, ia harus menghadapinya dengan sabar, mata yang jernih dan pola fikir yang panjang. Dengan begitu, ia akan menyaksikan bahawa buah manis dari musibah itu adalah:
.....lalu didirikan di antara mereka (orang-orang mukmin dan orang-orang munafiq) dinding yang mempunyai pintu, yang di sebelah dalamnya ada rahmat (syurga) dan di sebelah luarnya ada seksa (neraka). (Al-Hadid: 13)

Dan sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik, lebih abadi, lebih utama. dan lebih mulia.

Dengan itu, doa saya pada tahun baru ini semoga apa yang Allah telah berikan cubaan dan dugaan pada saya di tahun 2010 akan di gantikan dengan sesuatu yang lebih baik dan rahmat dan keberkatanNya yang lebih utama.

Sunday, December 19, 2010

LARANGAN MENGUMPAT

Dalam pergaulan kita sehari-hari dan sesama Muslim bukan hanya dilarang menyebutkan kata-kata kasar atau kata-kata yang bertujuan untuk memburukkan di hadapannya, tetapi ketika dia tiada pun dilarang. Yang dikatakan Ghibah itu ialah mengatakan sesuatu yang tidak disukai seseorang di balik belakangnya. Misalnya kita ceritakan tentang keadaan Si Esah ketika dia tiada, yang mana kalau dia mendengarnya pasti dia akan marah.

Mengumpat itu haram hukumnya dan ALLAH mengatakan orang yang mengumpat itu sebagai orang yang memakan daging saudaranya yang telah meninggal dunia.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah suka salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (Al-Hujurat: 12)

Dari Anas ra, katanya Rasulullah SAW bersabda: Tatkala aku dimikrajkan aku berjumpa dengan satu kaum yang mempunyai kuku tembaga. Aku melihat mereka menggaru dan mencakar muka dan dada mereka. Melihat yang demikian aku bertanya: "Siapakah mereka itu Jibrail?" Jibrail menjawab: "Mereka itulah orang yang suka memakan daging manusia dan suka menjatuhkan harga diri orang".

Bererti mengumpat besar dosanya. Dan juga bukan hanya orang yang mengumpat berdosa tetapi orang yang mendengar pun turut mendapat dosa. Kalau begitu jika kita di satu tempat dan di hadapan kita ada orang yang menceritakan keburukan orang lain tugas dan tanggungjawab kita adalah seperti berikut:
  1. Kalau ada orang yang asyik menceritakan keburukan orang lain di hadapan kita, hendaklah kita ceritakan pula kebaikan dan kelebihan orang itu supaya dia berhenti mengumpatnya. Siapa yang sanggup berbuat demikian akan mendapat pahala yang besar.
  2. Kalau tidak sanggup berbuat demikian dan tidak sanggup menegur orang yang mengumpat itu hendaklah kita tinggalkan tempat itu.
Kalau kita sudah mengumpat seseorang, hendaklah kita meminta maaf kepadanya. Kalau orangnya sudah meninggal dunia, hendaklah kita selalu mendoakannya. Atau kita bersedekah sesuatu dan pahala tersebut kita hadiahkan kepadanya. Di samping itu hendaklah kita berbanyak-banyak meminta ampun dari Allah SWT.
Peringatan ini untuk diri saya yang kadang-kadang terlepas juga......Astagfirrullah 'Al azim..


Tuesday, December 14, 2010

Bercakap Secara Jelas dan Terang

Salam Mun Alaik...

Setelah bercuti beberapa hari untuk meraikan hari bahagia salah seorang ahli keluarga, saya kembali bertugas seperti biasa. Belum pun sempat nak bernafas sepenuhnya, saya di kejutkan dengan beberapa berita yang kurang menyenangkan dari rakan-rakan sepejabat berkaitan dengan pembahagian tugas yang mana telah ditentukan sebelum ini. Salah seorang dari rakan saya telah ditugaskan untuk menjaga bahagian cenderahati dalam satu majlis rasmi yang akan diadakan tidak lama lagi dan mesyuarat persiapan sudah pun dijalankan sebanyak 2 kali. Tetapi tanpa sebarang pemberitahuan, dia dikejutkan dengan pertukarannya kebahagian penjagaan pentas yang mana melibatkan banyak tugas dan orang-orang di bawahnya. Saya agak termangu-mangu juga pada awalnya, tetapi setelah di perhalusi perkara ini, ternyata ini agak melampau dan secara nyata tidak adanya suatu rangkaian komunikasi yang bagus seperti yang telah ditunjukkan contohnya oleh Nabi Muhamad S.A.W dalam kehidupannya seharian dan semasa zaman pentadbirannya.

Komunikasi lisan adalah sesuatu yang sangat penting dalam mana-mana bentuk perhubungan termasuklah di antara seorang sahabat dengan sahabat, suami dengan isteri, pensyarah dengan pelajar, ketua dengan pengikut, majikan dengan pekerja dan lain-lainnya. percakapan yang tidak jelas dan tidak teratur, akan memberi kesan kepada sahabat yang mendengar. Ia memungkinkan berlakunya pelaksanaan kepada arahan yang tidak betul dan pelaksanaan tersebut menimbulkan risiko bukan sahaja kepada pihak yang mengarahkannya, bahkan juga kepada orang lain yang ada hubungan dengannya. misalnya arahan yang dikeluarkan oleh syarikat tidak jelas, akan menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjuta-juta ringgit, kerana luput projek besar. Kalau arahan yang dikeluarkan oleh pensyarah untuk menyiapkan sesuatu projek atau kerja kursus tidak jelas, kemungkinan kerja kursus tersebut memakan masa yang lama untuk disiapkan dan mungkin juga akan diubah beberapa kali.

Menyedari hakikat ini, Rasulullah s.a.w sentiasa mengutamakan percakapan yang terang dan jelas untuk mengelakkan berlaku salah terima maklumat dan kesilapan pelaksanaan arahan yang bakal mengundang kemudaratan kepada berbagai-bagai pihak.

Ummu al-Mukminin A'isyah r.a. melaporkan: "Apabila nabi s.a.w berbicara dalam sesuatu isu, sekiranya ingin dihitung ungkapan yang baginda gunakan, sudah tentu dapat menghitungnya".

Dengan ini bermaksud, sekiranya orang yang mendengar perbicaraan nabi s.a.w ingin menyebut kembali perkataan-perkataan atau hurufnya, dia mampu berbuat demikian sehingga ke akhir perbicaraan baginda. Ini menunjukkan Rasulullah s.a.w begitu menjaga susunan perkataan di dalam ucapan baginda dalam memberikan kefahaman kepada orang ramai, berkaitan dengan sesuatu isu.

Ini merupakan rahsia mengapa hadis nabi s.a.w dengan mudah dan dengan baik, dapat dihafaz oleh para sahabat dan kemudian ditulis oleh mereka, lalu dibukukan oleh tokoh-tokoh hadis yang datang kemudian daripada mereka. Ini juga menunjukkan komunikasi lisan yang jelas dan terang akan menghasilkan tindakan yang lancar dan jika ia tidak jelas akan menghasilkan tindakan yang tidak lancar, malah mungkin timbul perbahasan terhadap yang dikeluarkan oleh seseorang pemimpin itu berjam-jam lamanya, sebelum tindakan diambil. Ia juga menimbulkan salah faham dan salah tafsir.

Sehubungan dengan itu, untuk menjadikan percakapan atau perbicaraan itu lebih jelas dan terang, memerlukan seseorang melatih diri untuk berbuat demikian, bersabar dalam mengeluarkan setiap patah perkataan, dilakukan dalam keadaan tenang, tidak diganggu oleh hujan lebat, bunyi kenderaan yang kuat dijalanan, suara anak menangis dan sebagainya.

Peringatan ini adalah untuk diri saya sendiri dan juga sesiapa sahaja yang rasa ianya memberi faedah...Moga Kita di Rahmati Allah..Amin.

Friday, December 10, 2010

Berbuat Baik Kepada Orang Lain Akan Melapangkan Dada

Salam Semua pembaca….
Hari ini saya merasa agak terkilan dengan beberapa perkara yang berlaku semasa saya sedang masak di rumah mentua saya. Kebiasaannya saya memang jarang masuk dapur bila saya disini. Tetapi hari ini suami dan anak-anak teringin nak makan masakan kegemaran mereka iaitu tomyam kerana sudah 2 minggu kami tidak berpeluang untuk makan sama.  Maka, saya dengan rela hati masuk dapur dan ingin sekali masak dengan cara saya.
Apa yang saya telah jangkakan memang berlaku tanpa ada satu pun yang salah. Ada saja suara-suara yang suka komen masakan saya…katanya: “jangan pedas sangat nanti budak-budak tak dapat makan, jangan masam sangat nanti orang-orang yang dah tua tak suka makan, jangan masin sangat nanti mak tak boleh makan, jangan itu jangan ini.” Sikit tak banyak ini menyebabkan saya berasa kecewa kerana semua itu adalah kegemaran anak-anak dan suami tetapi saya tidak dapat menyampaikan rasa kasih sayang saya dalam masakan kegemaran mereka kerana komentar-komentar yang didengar. Saya kemudian terfikir adakah saya masih tak pandai masak lagi setelah 16 tahun berumahtangga?
Setelah saya ber’uzlah seketika, kemudian saya dapat merasakan sedikit ketenangan dan berpendapat,
Kebajikan itu sebaik namanya, keramahan seramah wujudnya, dan kebaikan sebaik rasanya. Dan orang-orang yang pertama kali akan dapat meraskana manfaat dari semua itu adalah mereka yang melakukannya. Mereka ini, akan merasakan ‘buah’nya ketika iru juga dalam jiwa, akhlak dan nurani mereka. Sehingga, mereka pun selalu lapang dada, tenang, tenteram dan damai.
Ketika diri kita diliputi kesediahan dan kegundahan, berbuat baiklah terhadap sesama manusia, nescaya kita akan mendapatkan ketenteraman dan kedamaian hati! Sedekahilah orang yang papa, tolonglah orang-orang yang dizalimi, ringankanlah beban orang yang menderita, berilah makan orang yang kelaparan, jenguklah orang yang sakit, dan bantulah orang yang ditimpa musibah, nescaya kita akan merasakan kebahagiaan dalam semua isi kehidupan kita!
Perbuatan baik itu laksana wangian yang tidak akan hanya mendatangkan manfaat kepada pemakainya tetapi juga buat orang-orang yang berada di sekelilingnya. Dan manfaat psikologi dari kebajikan itu terasa seperti ubat-ubat mujarab yang dapat diperolehi di dalan hati orang-orang yang berhati baik dan bersih.
Menebar senyuman manis kepada orang-orang yang ‘miskin akhlak’ merupakan sedekah jariyah seperti firman Allah yang bermaksud:
Sekali pun engkau bertemu dengan saudaramu dengan wajah ceria. (Al-Hadith).
Sesungguhnya kemuraman wajah merupakan tanda permusuhan sengit terhadap orang lain, yang hanya diketahui terjadinya oleh Sang Maha Ghaib.
Seperti seteguk air yang dberikan oleh seorang pelacur kepada seekot anjing yang kehausan dapat membuahkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ini membuktikan bahawa Sang Pemberi pahala adalah Dzat Yang Maha Pemaaf, Maha Baik dan sangat mencintai kebajikan, serta Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Ya Allah!

Ya Allah!

Tiba-tiba saja saya dapati pendrive saya telah dicemari oleh virus sebanyak 21 ekor yang entah datang daripada mana.

Ya Allah!

Macamana saya nak habiskan kerja-kerja saya yang kebanyakannya tersimpan dalamnya?

Ya Allah!

bagaimana caranya untuk saya dapatkan semula data-data yang telah hilang bersama dengan virus-virus itu?

Ya Allah! Apa yang perlu saya lakukan sekarang ini?

Ya Rabb! tolonglah hambamu ini.

Apabila tertimpanya musibah, bencana melanda, dan berlakunya tragedi, ia akan menyebut 'YA ALLAH!'.

Apabila pintu ditutup di hadapan pencari kerja dan tirai-tirai ditutup di depan orang yang meminta, mereka akan berseru: 'Ya Allah!'

Apabila berbagai usaha tidak mampu menyelesaikan, setiap jalan terasa terhimpit, harapan terhenti, dan semua jalan pintas telah buntu, mereka akan menyeru: 'Ya Allah!'

Apabila dunia terasa sempit disebabkan himpitan persoalan hidup dan jiwa terasa seolah tertekan oleh bebanan kehidupan yang harus dipikul, mereka akan menyeru: 'Ya Allah!'.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala didalam surah Ar-Rahman, ayat 29 yang bermaksud:

Semua yang ada di langit dan di bumi selalu memohon kepadaNya. Setiap waktu Dia berada dalam aktivitiNya.

Telah kukhabarkan kepadaMu
segala hal seperti cercaan.
Pekat dan wajah waktu lebih gelap berdebu.
Lalu kupanggil jelas namaMu
di waktu Subuh menanti
dan setiap fajar menyingsing
selalu terdengar namaMu terucap.

Ketika lidah bersenandung menyebut namaNya, memohon, mengharap dan memanggil. Dengan menyebutNya, dimana hati akan menjadi damai, jiwa terasa tenang, perasaan menjadi tenteram, saraf tidak lagi menegang, akal menjadi sejuk dan keyakinan menjadi mantap.

Allah Maha Penyayang terhadap hambaNya...(Asy-Syura: 19)

Ya Allah, hindarilah kami dari segala kesedihan; hilangkan kesengsaraan; dan jauhkan segala kegelisahan dari jiwa-jiwa kami.

Kami berlindung kepadaMu dari segala ketakutan, kecuali hanya takut kepadaMu. Kami berlindung dan bertawakal, hanya kepadaMu. Kami berlindung dari kepasrahan, kecuali hanya pasrah kepadaMu. Kami meminta hanya kepadaMu, memohon pertolongan hanya kepadaMu. Hanya Engkaulah sebagai Pelindung kami, kerana Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Semoga segalanya dipermudahkan untukku..Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Thursday, December 9, 2010

La Tahzan

Ini pertama kalinya saya mempunyai blog saya sendiri selepas ramai rakan-rakan saya mengesyorkannya kerana katanya saya punya banyak idea untuk dikongsikan pada para pembaca maya..kenapa saya pilih La Tahzan?
Ia bermaksud 'Jangan Bersedih' judul buku karangan Dr 'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni dari Tanah Arab.

Saya sangat tertarik dengan buku ini yang mana penulisnya merasakan bahawa kesedihan adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan melanda kaum muslimin dan kehidupan dunia ini..

Ada beberapa syair yang indah terdapat dalam buku ini dan rasa terpanggil untuk berkongsi dengan sesiapa pun yang mungkin tidak berkesempatan untuk membaca buku ini;

   Tidakkah kau tahu setiap kali kutemui Zainab
   Selalu kucium semerbak wanginya.

Buku ini diperuntukkan bagi setiap orang yang ingin hidup dalam kebahagiaan.

Aku tatahkan berlian di dalamnya
hingga aku meninggalkannya
bersinar tanpa matahari,
berkilau tanpa rembulan
Kedua matanya memancarkan daya tarik
Keningnya melengkung bak pedang dari India
Hanya milik Allah segala kebaikan
di setiap kerdipan mata
di setiap desah nafas yang mengalir di leher
di setiap tatapan.....


Insya'allah kita akan bersambungan di episod akan datang..