Tuesday, February 15, 2011

Jangan Bersedih, Banyak Cara Yang Dapat Mengusir Kesedihan

Salamun Alaik.....

SALAM MAULIDUR RASUL....
Semenjak dari awal tahun sehinggalah sekarang, kerja memang sangat banyak hinggakan tidak ada masa langsung untuk bercuti bersama keluarga...sempena cuti Maulidur Rasul ini, rasanya dah berehat sehari tanpa memegang atau melihat sebarang perkara yang melibatkan kerja....Alhamdulillah memang tidak sia-sia kerana saya berjaya meluangkan masa sehari suntuk dengan anak-anak saya...

Berehat sekali sekala tidak mengapa, tetapi janganlah asyik berehat sahaja tanpa berbuat apa-apa seperti yang dikatakan oleh Dr A'idh dalam bukunya...

Istirehat bagi seorang mukmin adalah kelalaian, waktu yang terluang merupakan pembunuh dan pengangguran adalah kebatilan. Kebanyakan manusia yang bersusah hati, berdukacita dan bersedih dalam hidup adalah penganggur yang tiada pekerjaan. Adapun manfaat yang mereka perolehi dari itu hanyalah sekadar khabar angin dan banyak angan-angan yang tidak berguna. Itulah keuntungan yang juga diraih oleh mereka yang tidak pernah mengerjakan amalan yang bermakna dan berbuahkan pahala.
                Oleh sebab itu, bergeraklah dan bekerjalah, berlatihlah dan kajilah sesuatu, bacalah Al-Qur’an dan bertasbihlah. Tulislah sesuatu dan kunjungilah sahabat kita! Manfaatkanlah waktu kita dengan sebaik-baiknya. Jangan biarkan sedetik pun waktu kita terbuang dengan sia-sia!. Ingat, sehari sahaja dibiarkan waktu kita kosong tanpa sebarang kegiatan, nescaya kesedihan, kedukaan, kecemasan dan keraguan dan mudah menyelinap ke dalam tubuh kita. Dan apabila berlaku sedemikian, maka kita akan menjadi lapangan permainan para syaitan. 

SUBHANALLAH..

Tuesday, January 11, 2011

Usirlah Kekosongan Dengan Kesibukan

Salam mun alaik..

Hari ini saya ingin berkongsi lagi dengan pembaca bagaimana kita harus penuhkan masa kita dari menjadi sia-sia. Saya bukanlah seorang yang 'workaholic' kerana saya tidak mahu menjadi hamba kepada pekerjaan dan juga wang. Tetapi dalam pada masa yang sama, saya juga tidak dapat duduk diam tanpa berbuat apa-apa kerana saya selalu merasakan satu kerugian dengan masa yang terbuang begitu sahaja. Sehinggakan suami dan anak-anak saya selalu berkata: Sayang/Ibu, tak boleh ke ibu duduk sekejap dan berehat tanpa melakukan apa-apa? Saya tidak dapat memberikan jawapannya kerana bagi saya.....

Orang-orang yang banyak menganggur dalam hidup ini biasanya akan menjadi bahan cercaan dan umpatan yang tidak memberi sebarang manfaat. Itu kerana akal fikiran mereka selalu melayang-layang tidak tahu arah. Dan....

mereka suka tinggal bersama-sama orang-orang yang ditinggalkan (kerana uzur)....(At-Taubah: 87)

Jika satu hari anda dapati diri anda menganggur tanpa sebarang kegiatan, bersiaplah untuk bersedih, gundah dan cemas! ini kerana, dalam keadaan kosong itulah fikiran anda akan menerawang ke mana-mana; dari mengingati kegelapan masa lalu, menyesali kesialan masa sekarang, hingga mencemaskan kelamnya masa depan yang belum tentu anda alami. Dan itu akan membuat akal anda tidak terkendali dan lari dari kawalan. Maka dari itu, nasihat kepada diri saya dan anda semua bahawa mengerjakan amalan-amalan yang bermanfaat adalah lebih baik daripada hanyut dalam kekosongan yang membinasakan.

Kesimpulannnya: Membiarkan diri dalam kekosongan itu sama halnya dengan bunuh diri dan merosak tubuh dengan dadah.

Waktu kosong itu tidak ubahnya dengan seksaan halus ala penjara Cina: Meletakkan si tahanan di bawah paip air yang hanya dapat menitiskan air satu titis setiap minit selama bertahun-tahun. Dan  dalam masa penantian yang panjang itulah, biasanya seorang akan menjadi stress dan gila.

Menganggur dapat melalaikan diri, dan sunyi dari sebarang pekerjaan umpama pencuri professional, sedangkan akal anda adalah perwira yang dapat melawan dan mengoyak pertempuran khayalan ini.

Dengan itu bangkitlah sekarang juga: kerjakan solat, baca buku, bertasbih, mengkaji, menulis, mengemaskan meja kerja, mengemaskan bilik tidur, atau berbuatlah sesuatu yang bermanfaat bagi orang lain untuk orang lain bagi mengusir kekosongan itu! Ini kerana saya ingin mengingatkan anda agar tidak berhenti sejenak pun dari melakukan sesuatu yang bermanfaat.

Bunuhlah setiap waktu kosong dengan 'pisau' kesibukan! Dengan cara itu, doktor-doktor sedunia akan berani menjamin bahawa anda telah mencapai 50% dari kebahagiaan.

Sekian dulu buat masa ini, saya akan cuba berkongsi apa yang termampu di masa akan datang...Insya'Allah..

HALANGAN KEPADA ANAK-ANAK YANG CEMERLANG

Sempena Menyambut Tahun Baru 2011...ini mengingatkan saya tentang peningkatan usia dan pertambahan umur anak-anak saya serta pemindahan dari sekolah rendah ke menengah....cara didikan terhadap mereka juga sudah mulai berbeza....tips-tips ini adalah peringatan kepada saya sendiri dan juga para ibubapa di luar sana...

SELAMAT MENDIDIK ANAK-ANAK SUPAYA MEREKA MENJADI LEBIH CEMERLANG DAN GEMILANG...AMIN..!!


KESILAPAN BIASA YANG DILAKUKAN OLEH IBUBAPA DALAM MENDIDIK ANAK BOLEH MENGHALANG KECEMERLANGAN MEREKA...
  1. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak.
  2. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak.
  3. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak.
  4. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan.
  5. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan.
  6. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak.
  7. Kurang melahirkan kasih sayang.
  8. Sering mengeluh depan anak-anak.
  9. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah.
  10. Tidak mengamalkan anak-anak dengan konsep keadilan.
  11. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak.
  12. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak.
  13. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak.
  14. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca.
  15. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan/minuman yang tidak halal.
  16. Tidak menunjukkan contoh teladan yang baik di hadapan anak-anak.
  17. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak.
  18. Terdapat jurang komunikasi di antara ibubapa dengan anak-anak.
  19. Tidak menggunakan bahasa yang betul.
  20. Suka bertengkar di hadapan anak-anak.
  21. Sentiasa menunjukkan muka masam / marah di hadapan anak-anak.
  22. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat.
  23. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak.
  24. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak.
  25. Tidak menepati janji yang dibuat terhadap anak-anak.
  26. Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak. / Tidak berminat melayan pertanyaan anak-anak.
  27. Selalu meremehkan pandangan atau buah fikiran anak-anak.
  28. Lambat memberikan penghargaan kepada anak-anak.
  29. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak.
  30. Hukuman yang tidak setimpal kesalahan yang dilakukan anak-anak.
  31. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak.
  32. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan anak-anak.
  33. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman keatas anak-anak.
  34. Tidak tegas mendidik anak-anak.
  35. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama.
  36. Tidak menggalakkan anak-anak belajar berdikari

DI PETIK DARI BUKU 21 KAEDAH MENDIDIK ANAK CEMERLANG tulisan Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah..

Terhadap 4 tahap dalam mendidik anak;

PERTAMA
Anak yang baru lahir hingga mumayyiz (sekitar 6 tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana Rasulullah membelai cucunya Husin.

TAHAP KEDUA
Anak berumur 7 tahun sehingga baligh (14 tahun) cara didikan dengan memberi arahan, disiplin diri dan berikan tanggungjawab.

TAHAP KETIGA
Anak berusia 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.

TAHAP KEEMPAT
Anak berumur lebih 21 tahun hendaklah ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.


Sekian setakat ini....Wallahualam bi sawab..

MENGUCAPKAN SALAM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Ketika saya membaca artikel ini ia telah mengingatkan saya kepada Bab Adab semasa bersekolah agama waktu kecil dahulu... mungkin hal ini ramai yang sudah maklum, tetapi saya tetap ingin berkongsi atas dasar ingat mengingati..SILAKANLAH MEMBACA.

SYARAK ingin mengarahkan setiap muslim dan muslimah supaya bergaul sesama mereka dengan pergaulan dan adab yang baik. Ertinya jika mereka mengamalkan adab atau tatacara pergaulan yang disediakan oleh syarak itu masyarakat akan harmoni dan mereka mendapat kebahagiaan.

Di antara kemuliaan yang diberikan Allah kepada kita ialah Dia (ALLAH) menyuruh kita supaya mengucap salam apabila bertemu dengan sesama muslim. Amalan memberi salam ini sangat baik kita amalkan. Hendaklah kita memberi salam kepada orang yang kita kenal dan orang yang kita tidak kenal.

Dari Abdullah bin Amr bin Ash, katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang ajaran Islam yang paling baik. Rasulullah SAW menjawab: "Engkau berikan makanan kepada orang lain dan engkau ucapkan salam kepada orang yang engkau kenal dan orang   yang tidak engkau kenal." (HR. Bukhari dan Muslim)

Tentang ucapan salam ini, orang yang memberi salam disuruh mengucapkan atau membaca:
      ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Sedangkan orang yang menjawab membaca:
      WAALAIKUM MUSSALAM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Sebenarnya mengucap Assalamualaikum saja pun sudah memadai tetapi orang yang mengucapkan seperti itu hilang peluangnya untuk mendapatkan pahala yang banyak. Orang yang mengucap Assalamualaikum mendapat 10 pahala. Orang yang mengucapkan sehingga Warahmatullah mendapat 20 kebaikan manakala orang yang menambah Wabarakatuh, yakni dia baca semua, bererti dia mendapat 30 kebaikan.

As-Salam ertinya aman dan selamat. Kalau kita menyebutkan Assalamualaikum kepada orang lain, bererti kita mendoakan supaya dia mendapat keamanan, ketenangan dan kebahagiaan.

Memulakan salam itu hukumnya sunat sedangkan menjawab hukumnya wajib. Namun demikian lebih besar pahala orang yang memulakan salam. Salam termasuk satu amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Menjawab salam hukumnya wajib dan ketika menjawabnya hendaklah dijawab dengan yang lebih baik daripada yang diucapkan orang yang memulakan salam.

Lain pula ceritanya, Kalau ada pemuda yang memberi salam kepada anak gadis cantik, maka si gadis itu tidak wajib menjawabnya kerana ditakutkan mendatangkan kesan yang tidak baik.
Kaedah fiqhiah ada mengatakan: Mencegah kerosakan itu lebih diutamakan daripada mengerjakan yang mendatangkan kebaikan. Contoh; memberi salam hukumnya sunat dan mendatangkan pahala tetapi di samping itu akan mendatangkan kesan yang tidak baik. Maka lebih baik jangan menjawab salam lelaki ajnabi.

Moral: Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali nak berangan kerana buruk padahnya. Maksudnya, kalau dah tau lelaki tu jenis tak boleh buat suami takkan nak juga...minta di jauhkan...

Wallah hu 'Alam..

Merenung dan Bersyukurlah!

Akhir-akhir ini banyak sangat benda yang saya nak dan kena buat, banyak perkara yang perlu difikirkan dan diselesaikan, banyak hati dan perasaan yang perlu diambil kira sehinggakan ada masanya saya seperti tidak mensyukuri nikmat ALLAH sehinggalah saya menemukan ini;

Setiap manusia seharusnya selalu mengingati nikmat Allah kurniakan kepada anda. Kerana nikmatNya telah meliputi dari hujung rambut hingga ke bawah kedua telapak kaki, kesihatan badan, keamanan negara, hutan belantara, udara dan air, serta masih banyak lagi lainnya adalah nikmat yang telah diberikan ALLAH kepada anda.

.....sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya...(Ibrahim: 34)

Demikianlah besar nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepada anda. dunia ini, beserta apa yang ada di dalamnya telah diciptakan Allah untuk anda, tetapi anda tidak pernah menyedarinya; anda menguasai kehidupan, tetapi tidak pernah mengetahuinya.

....Dia telah memberikan nikmat-nikmatNya secara sempurna kepada kalian, baik yang zahir mahupun yang batin......(Luqman: 20)

Anda telah diberi sepasang mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.

         Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan? (Ar-Rahman: 13)

Apakah anda mengira bahawa, berjalan dengan kedua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa, padahal masih ramai manusia lain yang tidak mempunyai kaki? Apakah anda mengira bahawa berdiri tegak di atas kedia betis itu merupakan sesuatu yang mudah, padahal masih banyak manusia lain yang kehilangan kedua betisnya? Apakah anda merasa nikmatnya tidur dengan memejamkan kedua mata, sementara masih ramai manusia lain yang tidak dapat tidur kerana sakit yang mengganggunya? Pernahkan anda merasa nista ketika anda dapat menyantap makanan yang lazat dan minuman yang dingin, sementara masih ramai orang lain yang tidak dapat makan dan minum hanya kerana penyakit yang mereka deritai?

Renungkanlah! Betapa besarnya fungsi pendengaran, di mana Allah menjauhkan anda dari ketulian; penglihatan anda terhindar dari kebutaan; dan ingatlah kulit anda yang cantik yang terhindar dari penyakit gatal dan kudis. Perhatikan juga fungsi otak anda! Allah telah memberikan kesihatan akal sehingga terhindar dari kegilaan yang menghinakan. Apakah anda ingin menggantikan mata anda dengan emas sebesar gunung Uhud? Inginkah anda menjual pendengaran anda seharga perak satu bukit? Apakah anda mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi dengan lidah anda, namun anda bisu? Apakah anda mahu menukar kedua tangan anda dengan butiran-butiran permata dan berlian, tetapi tangan anda kudung?

Anda sebenarnya telah meraup kenikmatan yang tiada terhitung dan kesempurnaan tubuh badan, tetapi sayangnya anda tidak menyedarinya. Bahkan, anda hidup dalam ketidakpastian dan terperangkap dalam kesedihan, padahal anda masih memiliki roti yang segar untuk disantap, air yang segar untuk diteguk, dapat tidur dengan nyenyak, dan kesihatan anda yang stabil.

Anda acapkali memikirkan sesuatu yang telah hilang, sehingga anda lupa mensyukuri apa yang ada di hadapan anda. Anda merasa sedih kerana kekurangan material, padahal anda masih memiliki kunci kebahagiaan, memiliki setumpuk kebaikan, kenikmatan, dan masih banyak yang lainnya. Oleh kerana itu, renungkanlah dan bersyukurlah!

      Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah. Apakah kalian tidak memperhatikannya? (Adz-Dzariyat: 21)

Lihatlah diri anda, keluarga, tempat tinggal, pekerjaan, kesihatan, sahabat dan dunia sekeliling anda. Dan janganlah termasuk di dalam golongan:

      Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah. tetapi mereka mengingkarinya....(An-Nahl: 83)

Alhamdulilah Ya Rab, ketika saya dalam kegelapan  dan penasaran ada cahaya yang menerangi jalan dan memudahkan laluan untuk saya terus maju kehadapan...