Tuesday, December 14, 2010

Bercakap Secara Jelas dan Terang

Salam Mun Alaik...

Setelah bercuti beberapa hari untuk meraikan hari bahagia salah seorang ahli keluarga, saya kembali bertugas seperti biasa. Belum pun sempat nak bernafas sepenuhnya, saya di kejutkan dengan beberapa berita yang kurang menyenangkan dari rakan-rakan sepejabat berkaitan dengan pembahagian tugas yang mana telah ditentukan sebelum ini. Salah seorang dari rakan saya telah ditugaskan untuk menjaga bahagian cenderahati dalam satu majlis rasmi yang akan diadakan tidak lama lagi dan mesyuarat persiapan sudah pun dijalankan sebanyak 2 kali. Tetapi tanpa sebarang pemberitahuan, dia dikejutkan dengan pertukarannya kebahagian penjagaan pentas yang mana melibatkan banyak tugas dan orang-orang di bawahnya. Saya agak termangu-mangu juga pada awalnya, tetapi setelah di perhalusi perkara ini, ternyata ini agak melampau dan secara nyata tidak adanya suatu rangkaian komunikasi yang bagus seperti yang telah ditunjukkan contohnya oleh Nabi Muhamad S.A.W dalam kehidupannya seharian dan semasa zaman pentadbirannya.

Komunikasi lisan adalah sesuatu yang sangat penting dalam mana-mana bentuk perhubungan termasuklah di antara seorang sahabat dengan sahabat, suami dengan isteri, pensyarah dengan pelajar, ketua dengan pengikut, majikan dengan pekerja dan lain-lainnya. percakapan yang tidak jelas dan tidak teratur, akan memberi kesan kepada sahabat yang mendengar. Ia memungkinkan berlakunya pelaksanaan kepada arahan yang tidak betul dan pelaksanaan tersebut menimbulkan risiko bukan sahaja kepada pihak yang mengarahkannya, bahkan juga kepada orang lain yang ada hubungan dengannya. misalnya arahan yang dikeluarkan oleh syarikat tidak jelas, akan menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjuta-juta ringgit, kerana luput projek besar. Kalau arahan yang dikeluarkan oleh pensyarah untuk menyiapkan sesuatu projek atau kerja kursus tidak jelas, kemungkinan kerja kursus tersebut memakan masa yang lama untuk disiapkan dan mungkin juga akan diubah beberapa kali.

Menyedari hakikat ini, Rasulullah s.a.w sentiasa mengutamakan percakapan yang terang dan jelas untuk mengelakkan berlaku salah terima maklumat dan kesilapan pelaksanaan arahan yang bakal mengundang kemudaratan kepada berbagai-bagai pihak.

Ummu al-Mukminin A'isyah r.a. melaporkan: "Apabila nabi s.a.w berbicara dalam sesuatu isu, sekiranya ingin dihitung ungkapan yang baginda gunakan, sudah tentu dapat menghitungnya".

Dengan ini bermaksud, sekiranya orang yang mendengar perbicaraan nabi s.a.w ingin menyebut kembali perkataan-perkataan atau hurufnya, dia mampu berbuat demikian sehingga ke akhir perbicaraan baginda. Ini menunjukkan Rasulullah s.a.w begitu menjaga susunan perkataan di dalam ucapan baginda dalam memberikan kefahaman kepada orang ramai, berkaitan dengan sesuatu isu.

Ini merupakan rahsia mengapa hadis nabi s.a.w dengan mudah dan dengan baik, dapat dihafaz oleh para sahabat dan kemudian ditulis oleh mereka, lalu dibukukan oleh tokoh-tokoh hadis yang datang kemudian daripada mereka. Ini juga menunjukkan komunikasi lisan yang jelas dan terang akan menghasilkan tindakan yang lancar dan jika ia tidak jelas akan menghasilkan tindakan yang tidak lancar, malah mungkin timbul perbahasan terhadap yang dikeluarkan oleh seseorang pemimpin itu berjam-jam lamanya, sebelum tindakan diambil. Ia juga menimbulkan salah faham dan salah tafsir.

Sehubungan dengan itu, untuk menjadikan percakapan atau perbicaraan itu lebih jelas dan terang, memerlukan seseorang melatih diri untuk berbuat demikian, bersabar dalam mengeluarkan setiap patah perkataan, dilakukan dalam keadaan tenang, tidak diganggu oleh hujan lebat, bunyi kenderaan yang kuat dijalanan, suara anak menangis dan sebagainya.

Peringatan ini adalah untuk diri saya sendiri dan juga sesiapa sahaja yang rasa ianya memberi faedah...Moga Kita di Rahmati Allah..Amin.

No comments:

Post a Comment